ROTTERDAM: Sarawak mengalu-alukan negara yang berminat membangunkan teknologi hidrogen dan penggunaannya terutama di negara tropika untuk mempercepatkan penggunaan gas hidrogen di peringkat global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak adalah negeri sedang giat membangunkan tenaga diperbaharui ‘Sarawak is Hydrogen Ready’ dan membuka ruang membantu industri tradisional menjadi lebih mampan.
Apabila dunia sedang bergelut dengan pandemik, Sarawak membangunkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dengan memberi tumpuan kepada tenaga diperbaharui sebagai matlamat dalam rancangan 10 tahun, katanya semasa menyampaikan ucaptama ‘Accelerating The Global Hydrogen Economy: The Sarawak Way’ pada Pameran dan Sidang Kemuncak Dunia Hidrogen 2022 di Rotterdam, Belanda.
Menurut Abang Johari, PCDS 2030 untuk membangunkan ekonomi negeri dengan mengandungi pelbagai pendekatan ke arah ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar jangka panjang.
Selain itu, ia juga untuk mewujudkan bidang kerjasama dengan pembuat dasar dan sektor swasta di kepulauan Borneo dan global, katanya.
Beliau berkata, Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Hidrogen, membina ekosistem dengan kekayaan sumber semula jadi, kecekapan infrastruktur, memiliki kepakaran dan membina rangkaian nilai bekalan.
Dengan usaha bersungguh-sungguh, berinisiatif, Abang Johari berkata, Sarawak menyampaikan mesej kepada seluruh dunia mahu menjadi wilayah bersih dan pelaburan hijau dan mahu industri mengeluarkan karbon yang rendah melalui rangkaian bekalan hidrogen Sarawak.
“Sarawak kini menjadi penyedia tenaga diperbaharui terbesar Malaysia dan kepada tiga juta orang di seluruh Sarawak dan sebahagian di Kalimantan Barat, Indonesia,” tambahnya.
Hakikatnya, tegas beliau, 70 peratus keluaran tenaga diperbaharui itu adalah campuran sumber tenaga hidro yang boleh dijadikan pengeluar hidrogen dengan karbon yang rendah.
Dengan menggunakan tenaga diperbaharui seperti pengeluaran gas hidrogen daripada sumber tenaga hidro, Sarawak berkeupayaan untuk menghasilkan amonia hijau, katanya.
Melalui inovasi itu dan penerokaan gas hidrogen yang memberi impak kepada peralihan tenaga, katanya, Sarawak membangunkan strategi berkesan untuk mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan pelepasan karbon rendah dengan memperkenalkan gas hidrogen sebagai alternatif kepada minyak bagi sektor pengangkutan awam.
Membangun ke hadapan, Sarawak Energy Berhad (SEB) sedang menerokai pengeluaran gas hidrogen sebagai penyelesaian kepada penggunaan komersial dan awam dan tekenologi minyak.
Sebagai usaha berterusan untuk merealisasikan impian Sarawak sebagai hab pengeluar hidrogen di rantau ini, pada 2020, SEB menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan syarikat utama – Petronas, Chiyoda dan Mitsubishi yang berkongsi impian sama menerokai potensi mengeskport gas hidrogen.
Sarawak turut menjadi rakan kongsi dengan pemain global dari Korea Selatan untuk membangun loji hidrogen dan amonia hijau di Bintulu, tambahnya.
Apabila siap kelak, loji itu berupaya mengeluar 630,000 tan metrik amonia hijau, 600,000 tan mertik ammonia biru, 460,000 tan mertik methanol hijau dan 7,000 tan mertik hidrogen hijau kepada industri tempatan dan Korea Selatan.
Untuk mempercepatkan agenda Tenaga Hijau Sarawak, Kerajaan Sarawak sedang menerokai Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) untuk menghasil minyak pesawat yang akan menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon di udara.
NEXO Fuel Cell Vehicles sedang membuat komponen di bawah strategi pengembangan auto bersama Hyundai dengan memperkenalkan bas hidrogen sebagai pendekatan terbaharu menghijaukan pengangkutan awam Sarawak.
Dalam perkembangan selanjutnya, SEB telah berjaya menubuh dan melancarkan Loji Hidrogen Bersepadu dan stesen minyak pertama di Asia Tenggara pada 2018.
Loji itu berupaya menghasil 130 kilogram (kg) gas hidrogen sehari dengan ketulenan 100 peratus dan dengan kemudahan hidrogen perintis itu, Sarawak kini ke arah membina tenaga hijau untuk masa depan sektor pengangkutan di Sarawak dan wilayah Asia Pasifik.
Sumber dari : Jiwa Bakti